Sunday, April 24, 2011

Buat Gadis Kesayanganku

Gadisku...
Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Namun...tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari diri, umpama mawar merah, dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta panahan warnanya yang terserlah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang.. tapi awas.. duri yang melingkari dirinya bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Gadisku...
Aku suka sekirannya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah. Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah. Hiasilah wajahmu dengan titisan wudhuk. Ingatlah bahawa cirri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya. Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah...umpama sebutir permata yang didedahkan untuk perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup...sudah pasti keinginan diri kuat untuk melihat permata yang tersembunyi rapi tentulah melebihi daripada yang terdedah. Wanita solehah yang taat dan patuh kepada Al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam. Namun, segalanya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana bertentangan dengan nafsu serakah yang bersarang di dalam dirimu lebih-lebih lagi 'title' gadis yang engkau miliki, sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada. Namun ingatlah gadisku, sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah pasti akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu. Yang paling penting gadisku engkau mestilah mempunyai azam, usaha dan istiqamah.

Gadisku...
Akuilah dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggal dari tubuhmu maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu. Sesungguhnya Nabi S.A.W ada mengatakan tentang bahaya dirimu "Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita". Oleh itu gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan biarkan orang lain mengeksploitasi dirimu untuk kepentingan tertentu. Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam, kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.

Gadisku...
Dalam hidupmu engkau pastinya ingin disayangi dan menyayangi, itulah fitrah semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yang tewas kerana cinta. Bercinta itu tidak salah, tetapi memuja cinta itu yang salah. Ini kerana disebabkan cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta juga maruah tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian besarnya kerana cinta. Benarlah sabda Rasullullah S.A.W yang membawa maksud "Sesungguhnya cinta itu buta". Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan batil jika engkau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan bukan kerana Allah S.W.T. Sebelum engkau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu, mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik, yang berasal daripada setitis air yang tidak beharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah S.W.T. Semoga itu mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan timbul rasa cinta dan kasih kepada Penciptamu.

Gadisku...
Menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai. Tetapi, apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti akan bertaut kembali. Dalam usia mudamu, sibukkanlah diri dengan ilmu yang mampu menajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu. Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat. Akhir kalam, terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiyah sebagai renungan bersama. "Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kabahagian yang hakiki untuk seorang insan dan ia tidak kekal abadi kerana manusia itu sering membuatkan seseorang kecewa, gagal, merasa terseksa. Oleh itu, tiada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagian dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia itu sendiri..."

- Artikel iluvislam.com

Thursday, February 10, 2011

Hari Kekasih - Laluan Kemungkaran


Menjelang bulan Februari, pasti ramai anak-anak muda yang sedang hangat dilamun cinta tidak sabar untuk meraikan ketibaan Hari Kekasih atau Hari Valentine yang jatuh pada tanggal 14 Februari. Bahangnya makin terasa.Kita boleh lihat banyak iklan, promosi dan tawaran hebat diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kekasih. Bukan itu sahaja, lebih menarik lagi, pelbagai filem berunsur romance dihidangkan sepanjang bulan kekasih ini buat santapan si pencinta bagi menghangatkan lagi suasana bersama pasangan masing-masing.
Namun begitu, dalam sedar atau tidak, kita boleh lihat bukan sahaja masyarakat bukan Islam yang menyambut Hari Kekasih, malah umat Islam juga turut sama meraikan perayaan tersebut walaupun hari yang diraikan tidak terdapat dalam ajaran Islam.
Melihat pada fenomena ini, sambutan Hari Kekasih semakin mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam khususnya golongan remaja. Lebih menyedihkan lagi, terdapat segelintir daripada mereka yang bertindak di luar batasan sehingga menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat. Berlakunya perbuatan-perbuatan tidak bermoral seperti zina, minum arak, menghidu gam, menghisap ganja dan dadah secara tidak langsung mencerminkan keperibadian yang bobrok dalam kalangan remaja dan memberi gambaran negatif terhadap golongan remaja, dari segi agama dan negara, keluarga dan generasi yang akan datang.
Tindakan Penyelesaian
Bagi membina kekuatan dalaman remaja Islam hari ini serta menghindarkan mereka daripada terus menerus terjebak dalam unsur kurang sihat seperti hari kekasih adalah dengan mengukuhkan keilmuan dan keimanan. Penjelasan berkenaan larangan menyambut hari kekasih perlulah diwar-warkan kepada seluruh umat Islam khususnya remaja agar mereka faham apa sebenarnya erti disebalik hari kekasih atau Hari Valentine.
Para emaja hendaklah didedahkan dengan ajaran-ajaran agama supaya pegangan iman mereka sentiasa teguh dan tidak mudah goyah dengan gangguan manusia dan syaitan.
Keinginan remaja untuk mencuba sesuatu yang baru sememangnya tidak boleh dielakkan. Dan  tidak dinafikan juga bahawa remaja juga mudah memberontak. Mereka masih muda dan tidak tahu arah tujuan sebenar hidup di alam sementara ini. Apa yang dikejar hanyalah keseronokan. Dan penulis tidak terkejut jika terdapat antara mereka yang memberikan pelbagai alasan demi membenarkan mereka menyambut perayaan ini.
Antara alasan yang lazim didengari dari remaja sekarang  ialah menyambut Hari Kekasih secara tidak berlebihan, menyambutnya  dengan hanya menghantar kiriman khidmat pesanan ringkas atau menghadiahkan sekuntum bunga sebagai tanda cinta. Tetapi, mengapa ia tidak dilakukan pada hari-hari biasa?
Selain itu, bukan besar atau kecil hadiah yang menjadi persoalan. Pokok pangkalnya adalah niat. Menurut sumber sejarah, Valentine Day ini telah menjadi acara keagamaan buat penganut Kristian. Apakah kita sebagai umat Islam ingin tergolong dalam golongan penganut kristian?
Di dalam surah Ali Imram ayat 31 telah menyebut "Katakanlah (Wahai Muhammad jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui."
Ayat di atas bermaksud setiap kasih dan sayang yang ditetapkan oleh Islam tidak seharusnya disalahgunakan bagi memenuhi kehendak peribadi sesuatu pihak. Ia perlulah digunakan dalam suasana yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dan boleh diterima pakai oleh masyarakat umum.
Oleh sebab itu, pengetahuan merupakan perkara yang penting dalam hidup supaya kita tidak mudah ditipu dan dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang boleh membinasakan diri kita. Jika ceteknya pengetahuan, maka benteng keimanan seseorang Muslim itu mudah rapuh sekali gus akan hilanglah jati diri dalam kalangan remaja Muslim.
Peranan Pihak Terlibat
Pergaulan yang mesra dan lemah lembut sesama ahli keluarga merupakan faktor yang boleh menyemai semangat kekeluargaan. Lakukanlah aktiviti secara bersama, Insya-Allah anak-anak muda ini pasti memahami bahawa kasih dan sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian sahaja, malah lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat sama-sama menuju ke jalan yang diredhai.
Selain itu, pihak media juga hendaklah memainkan peranan yang penting dalam membetulkan semula fahaman remaja tentang  hari kekasih. Ini kerana, media merupakan satu medium penyebar infomasi yang paling berpengaruhi oleh segenap lapisan penduduk.
Oleh itu, kesemua pihak yang terlibat hendaklah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak menyambut Valentine Day. Tambahan itu, isikanlah hati mereka dengan ilmu-ilmu akidah dan akhlak supaya mereka dapat menjaga benteng keimanan dari menjatuhkan maruah mereka sebagai remaja Muslim.

Wednesday, January 26, 2011

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?


Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.